Saturday, 27 October 2012

Hijrah & Pengorbanan: Dua selebriti kongsi cerita


Shila Amzah - Sharifah Aleya
Shila Amzah - Sharifah Aleya - Foto KKSB
 
NAMA penyanyi berbakat besar, Shila Amzah dan penyampai radio HotFM, Sharifah Aleya, bukan asing lagi di negara ini. Walaupun bidang kerjaya kedua-dua selebriti ini berbeza, namun mereka berkongsi satu persamaan secara kebetulan.

Mula membuat keputusan untuk berhijrah pada awal Ramadan lalu, baik Shila mahupun Leya, mereka mengharapkan yang terbaik di sebalik penghijrahan tersebut.

Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut umat Islam pada tanggal 26 Oktober ini, bersamaan 10 Zulhijjah 1433, mereka dengan senang hati berkongsi kisah di sebalik penghijrahan dan pengorbanan besar yang pernah dilakukan dalam hidup masing-masing.

Membuat keputusan untuk menceburi bidang nyanyian sejak usia belasan tahun, Shila atau nama sebenarnya, Nur Shahila Amir Amzah, 22, mengakui situasi itu membawa banyak perubahan dalam hidupnya.

Malah, tanpa berselindung, Shila memberitahu, dia terpaksa mengorbankan banyak perkara demi mencapai impian menempa nama di persada seni.

“Demi cita-cita, saya terpaksa mengorbankan keseronokan di zaman kanak-kanak. Dari kecil lagi, ayah sangat tegas dan tidak membenarkan saya bergaul bebas. Di usia 12 tahun, saya mula berjinak-jinak dengan nyanyian, secara tidak langsung, peluang berseronok semakin terhad.

“Namun, tidak pernah terlintas perasaan ralat di hati kerana saya sedar, tindakan ibu bapa saya adalah untuk melihat saya berjaya. Alhamdulillah, pengorbanan saya selama ini berbaloi dan saya berjaya buktikan kepada keluarga,” kata juara Asian Wave ini.

Berbeza pula dengan pendirian Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid, 29, atau Leya. Menganggap dirinya sebagai insan yang bernasib baik, Leya memberitahu, dirinya tidak pernah diuji dengan cabaran yang melebihi kemampuannya.

“Alhamdulillah, setakat ini saya bersyukur kerana tidak pernah berdepan dengan ujian yang besar. Cuma tanggungjawab saya menjadi lebih sedikit apabila bergelar ibu.

“Begitu juga dari segi kerjaya, ia berjalan mengikut kemahuan saya. Saya bertuah kerana tidak berdepan dengan dugaan besar, malah penghijrahan ini juga membuktikan saya berpeluang dapat hidayah dari-Nya, walaupun tak semua dapat merasai,” katanya.

Status ibu tunggal

Memegang status ibu tunggal sejak 29 Februari lalu, tidak mematahkan semangat Leya dalam menggalas tanggungjawab membesarkan anak kembarnya, Aza Ameena dan Asha Ameena, 3.

Di kala perpisahan adalah jalan terbaik dalam perhubungan, Leya mengakui bukan mudah melaksana tanggungjawab sebagai ibu tunggal. Namun, menganggap semua itu sebagai ketentuan dari-Nya, Leya tabah mengharungi kehidupan demi membesarkan anak-anak.

“Saya tidak menyesali perkara itu kerana ia adalah jalan penyelesaian terbaik buat kami. Lagipun, kami berpisah secara baik dan masih berkawan.

“Setiap ibu mengimpikan yang terbaik untuk anak-anak, begitu juga saya. Kini, keutamaan saya hanyalah untuk anak-anak dan memastikan mereka membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Bukan omongan kosong

Enggan berkongsi kisah penghijrahannya, Leya menganggap penghijrahan ini membuka lembaran baru buat Leya kerana keputusan itu bukanlah sekadar omongan kosong, malah berharap agar ianya berterusan.

“Saya selesa dengan imej sekarang dan tak pernah rasa kekok untuk mengenakan tudung setiap kali keluar dari rumah. Mungkin ada suara sumbang yang meragui perubahan ini, namun saya hanya berdoa agar diberikan kekuatan untuk terus kekal dalam pegangan ini.

“Saya tidak mahu ambil pusing kata-kata orang, asalkan saya bahagia dengan pilihan saya. Apa yang saya tahu, saya akan terus bekerja untuk membesarkan anak-anak dan berusaha mendalami ilmu agama.

“Saya sangat bertuah kerana keluarga dan teman-teman menyokong penghijrahan ini. Mereka tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat agar saya tidak lemah dengan hasutan luar,” katanya yang juga anak kepada bekas tenaga pengajar Akademi Fantasia 9, Fatimah Abu Bakar.

Shila sertai Usrah

Sejak melakar kejayaan di negara China menerusi pertandingan Asian Wave, baru-baru ini, jadual kerja Shila semakin padat dengan pelbagai aktiviti nyanyian.

Mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran akibat kesukaran untuk memenuhi tuntutan itu, Shila berharap agar perkara tersebut tidak menimbulkan spekulasi lain.

“Jadual saya memang padat dengan beberapa persembahan termasuk private show dari golongan Cina. Selain itu, saya juga bakal berhadapan dengan empat persembahan anugerah iaitu Anugerah Industri Muzik (AIM), Semifinal Muzik-Muzik, Shout! Awards dan Anugerah Planet Muzik (APM).

“Jadi, memang waktu yang ada hanya difokuskan untuk persembahan besar itu yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Pada 10 November ini, saya turut dijemput untuk mengadakan persembahan, Golden Chinese Award yang berlangsung di Genting Highlands.

“Saya juga memperuntukkan masa untuk menghadiri kelas Mandarin kerana banyak perkara yang perlu saya belajar mengenai teknik sebutan dan cara membawa lagu Mandarin dengan betul,” kata kekasih pelakon, Sharnaaz Ahmad ini.

Tidak bercadang untuk membuat sebarang majlis sempena sambutan Aidiladha ini, Shila memberitahu, masa yang ada digunakan untuk bersama keluarga dan sanaksaudara.

“Pada hari itu, saya mengambil cuti dan tidak akan menghadiri mana-mana majlis. Saya dan keluarga bercadang untuk mengunjungi saudara mara terdekat.

“Walaupun tiada majlis, namun saya turut serta dalam Usrah dan mengambil satu bahagian korban kerana selain beramal, ia mengingatkan kita agar memperingati pengorbanan yang telah dilakukan sebelum ini.

“Bagi saya, Aidiladha membawa pelbagai maksud tersirat. Banyak perkara yang boleh direnungkan dan ianya turut mengingatkan kita untuk sentiasa muhasabah diri,” katanya mengakhiri perbualan.
Previous Post
Next Post
Related Posts

0 comments: