Wednesday, 17 October 2012

Hasan Ali: Saya tidak akan sertai Umno

Hasan Ali: Saya tidak akan sertai Umno


Hasan Ali
Hasan
 
BESUT - Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, yang dipecat oleh Pas Januari lalu berkata, beliau akan tetap bersama parti itu walaupun terus mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam parti itu yang didakwanya hampir 75 hingga 80 peratus kepimpinannya dipengaruhi kumpulan Anwarinas.

"Saya akan tetap bersama Pas dan tidak akan menyertai Umno. Justeru, keputusan saya perlu dihormati semua pihak," katanya kepada Bernama selepas majlis dialog dengan penjawat awam anjuran Majlis Belia daerah di sini, hari ini.

Beliau merupakan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor dan bekas Naib Presiden parti itu.

Dipetik Bernama hari ini, beliau yang juga Presiden Jalur Tiga (Jati) menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menuduhnya 'dibeli' Umno bagi mengadakan ceramah di pentas Umno di seluruh negara.

"Sehingga sekarang, saya berceramah adalah atas prinsip menegakkan Islam di negara ini walaupun terpaksa menggunakan belanja sendiri," katanya.

Berhubung dakwaannya mengenai kumpulan Anwarinas dalam Pas, beliau berkata, kumpulan itu kini bukan sahaja bertindak sebagai pelindung, penggerak malah sebagai jurucakap dalam Pas hingga menyebabkan kumpulan ulama semakin terpinggir dan tidak dipedulikan lagi.

Beliau berkata, ramai golongan ulama semakin diperkecilkan peranan mereka dan termasuk dipecat kerana lantang bersuara dalam memperjuang agama Islam.

"Justeru, orang ramai jangan hairan sekiranya dalam masa yang terdekat Pas akan memecat lebih ramai lagi golongan ulama termasuk (bekas Timbalan Presiden Pas) Nasharudin Mat Isa kerana memperjuangkan Islam," katanya.

Monday, 17 September 2012

Siswa Berarak Tuntut PilihanRaya KAMPUS Bebas

Siswa Berarak Tuntut PilihanRaya KAMPUS Bebas

Siswa Berarak Tuntut P'raya Kampus Bebas

Siswa Berarak Tuntut P’RAYA KAMPUS Bebas

 

Seramai kira-kira 2800 pelajar menyertai perarakan di ibu kota Kuala Lumpur hari ini bagi menuntut pilihan raya kampus yang bersih dan berintegriti.

Kumpulan itu mula berkumpul di kawasan Masjid Jamek dan mula berarak pada kira-kira jam 2.30 petang menuju ke kawasan pusat membeli belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, melalui Jalan Raja Laut.

Sebelum berarak, kumpulan pelajar berkenaan menyanyikan lagu Negaraku.
Mereka turut membawa bendera Jalur Gemilang dan kain rentang antaranya bertulis “sistem pengundian yang telus”, “peruntukan dana calon” dan “penetapan tarikh PRK”.
Kumpulan berkenaan turut melaungkan “bangkit anak muda”, “tolak penipuan” dan “hidup mahasiswa”.

Turut kelihatan, maskot bagi Pro-Mahasiswa- ‘Mat Gempak’.
Sekumpulan anggota polis dilihat berkawal di sekitar kawasan Dataran Merdeka dan Masjid Jamek dan mengawal kumpulan pelajar yang berarak.
Anggota keselamatan itu turut memberi amaran kepada para siswa berkenaan agar tidak menghalang lalu lintas.

Perarakan ini antaranya disertai oleh Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI).
Setibanya di kawasan pusat membeli-belah Sogo, kumpulan siswa berkenaan duduk dan mendengar ucapan daripada pimpinan pelajar yang hadir kira-kira 30 minit.

Kumpulan itu kemudiannya meneruskan perarakan melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju Dataran Merdeka di mana kumpulan itu membawa ‘Deklarasi Mahasiswa’ beramai-ramai dan menyanyi lagu Negaraku sebelum bersurai pada jam kira-kira 4.15 petang.
Pada sidang media selepas perarakan ini, Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto berkata tindakan yang diadakan hari ini adalah bersempena Hari Malaysia dan menuntut agar enam tuntutan pihaknya dilaksana sebelum pilihan raya kampus diadakan.

“Kita minta agar enam tuntutan ini dilaksanakan. Walaupun pilihan raya kampus semakin hampir, kita tetap akan desak. Apa yang kita nak buat ini bukan untuk masa sekarang tapi untuk masa akan datang,” kata Edikoup.
Enam tuntutan tersebut ialah penetapan tarikh pilihan raya kampus, mahasiswa terlibat menguruskan pilihan raya kampus, pemantauan pilihan raya kampus, kebebasan berkempen, sistem pengundian telus dan peruntukan dana kepada calon.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung kesalahan yang dilakukan siswa berkenaan dalam perarakan hari ini.
“Kita akan siasat. Ada dua kesalahan. Pertama tidak beritahu polis untuk mengadakan perhimpunan dan kedua kerana mengadakan protes di jalanan. Semua ini akan disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012,” kata Zainuddin. (MALAYSIAKINI)

 

Saturday, 15 September 2012

PR mahu SPR selesai dahulu isu pengundi hantu

PR mahu SPR selesai dahulu isu pengundi hantu


Setiausaha DAP Negeri, Nga Kor Ming
Setiausaha DAP Negeri, Nga Kor Ming
 
IPOH Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menyelesaikan dahulu isu keraguan pengundi yang dikatakan meningkat mendadak di beberapa negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) terutama Selangor sebelum kata sepakat mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dicapai.

Setiausaha DAP Negeri, Nga Kor Ming berkata, langkah itu perlu berikutan senario perbezaan pendirian yang berlaku di Selangor, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang mengenai persetujuan tarikh pilihan raya ada kaitannya dengan masalah keraguan pengundi di negeri masing-masing.

“Bagi Kelantan, mereka mungkin tidak mempunyai masalah sekiranya pilihan raya dijalankan serentak kerana isu pengundi hantu  mungkin tidak sehebat yang berlaku di Selangor.

“Dengan peningkatan jumlah undi mendadak mencecah 100,000, pastinya Selangor ada alasan tersendiri mengapa mereka menyatakan pendirian untuk mengadakan pilihan raya berasingan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Kor Ming berkata, sama ada secara serentak atau berasingan, beliau percaya setiap keputusan yang diambil adalah salah satu strategi pilihan raya bagi memastikan kemenangan di negeri yang dikuasai terus berpihak kepada PR.

Menurutnya, ia sama sekali tidak menunjukkan bahawa pimpinan PR tidak sepakat, sebaliknya secara terbuka memberi kebebasan kepada kuasa pentadbiran negeri masing-masing dalam merencana pendekatan sebelum kata sepakat  dicapai.

“Selangor kita ibaratkan seperti jantung pentadbiran negara, jadi sudah semestinya pelan startegik yang sesuai bagi menghadapi PRU dibuat di negeri itu berbanding Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang lebih bergantung kepada  senario politik semasa,” katanya.

Pendapat sama turut disuarakan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Beliau berkata, masalah kos meningkat sekiranya Selangor mengadakan pilihan raya secara berasingan seperti yang dinyatakan SPR adalah skala kecil berbanding risiko kemenangan atau kekalahan yang bakal dihadapi PR di negeri itu.

“Saya melihat PR di Pulau Pinang, Kedah serta Pas di Kelantan tidak berdepan dengan ancaman besar, berbanding Selangor.

“Apa pun yang berlaku ia bergantung kepada isu yang berlaku sekarang dan Selangor berdepan dengan masalah keraguan pengundi yang masih belum disahkan SPR, jadi isu ini perlulah diselesaikan dahulu,” katanya.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Dr Muhammad Nur Manuty pula yakin, pimpinan tertinggi PR bersikap matang dalam mengatur setiap pelan strategi pilihan raya akan datang.

Baginya, apa yang dinyatakan adalah salah satu proses perbincangan dan bukan keputusan muktamad.

“Setiap negeri ada justifikasinya tersendiri dan saya melihat ia satu proses perbincangan yang matang, apa jua keputusan yang diambil, pasti ianya sesuatu yang menguntungkan PR kelak,” katanya.

Friday, 14 September 2012

Pemuda Pas mahu 'orang muda' tanding di Rompin

Pemuda Pas mahu 'orang muda' tanding di Rompin


Nasrudin Hasan Tantawi
Nasrudin Hasan Tantawi 
 
KUALA ROMPIN - Dewan Pemuda Pas Kawasan Rompin menaruh harapan Majlis Syura mempertimbangkan calon muda untuk bertanding kerusi Parlimen Rompin dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Kawasan Rompin, Razali Awang Muda berkata, calon muda berpotensi dan berkelayakan diyakini dapat memberi kelebihan kepada Pas untuk merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Pas mempertaruhkan beberapa calon muda pada PRU akan datang antaranya Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hasan Tantawi dan Penasihat Undang-Undang Pas Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly.

“Soal pembahagian kerusi memang tidak menjadi masalah. Cuma kita berharap dua nama ini diberi perhatian kerana mereka calon berpotensi untuk merampas kerusi Parlimen Rompin,” katanya.

Mengulas siapakah calon paling layak untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Rompin, Razali berkata, semua calon mempunyai kelebihan masing-masing, namun Nasrudin mempunyai harapan lebih cerah untuk menggalas tanggungjawab itu.

“Kami mengalu-alukan jika Nasrudin dipilih pucuk pimpinan tertinggi kerana ia secara tidak langsung memberi kelebihan kepada Pas untuk meraih undi dalam kalangan generasi muda dan warga peneroka," katanya.

Menurutnya, Nasrudin yang juga anak peneroka Felda Keratong 5 boleh diketengahkan kerana beliau bukan saja dikenali di peringkat tempatan, malah dianggap sebagai calon popular di peringkat nasional.

“Nasrudin disifatkan mudah didekati, mesra dan senang berurusan. Walaupun tidak menjadi wakil rakyat, beliau turut memainkan peranan dalam mengetengahkan masalah rakyat untuk diselesaikan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, keputusan menentukan calon terletak di tangan Majlis Syura dan sebagai ahli di peringkat kawasan, beliau tetap menyokong siapa saja calon di Parlimen itu.

“Kita akan sokong sesiapa saja dan bekerja keras untuk memastikan calon-calon Pas yang diketengahkan dalam PRU mencapai kemenangan,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan Pas Kawasan Rompin dijangka meletakkan calon berpotensi dan boleh menang untuk bertanding kerusi Parlimen Rompin dalam menghadapi PRU13.

Tiga nama popular disebut-sebut mengisi kerusi itu adalah Nasrudin, Mohd Fadzli dan Yang Dipertua Pas Kawasan Rompin, Shukri Ahmad.

Antara tiga nama itu, Nasrudin dikatakan calon paling popular memandangkan beliau mempunyai pengaruh besar yang melayakkannya bertanding bagi kerusi Parlimen.

Thursday, 13 September 2012

Filem hina Nabi: Pemuda Umno kecam, mahu AS tindak

Filem hina Nabi: Pemuda Umno kecam, mahu AS tindak


Khairy Jamaluddin
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin
 
SHAH ALAM – Pemuda Umno mengecam sekeras-kerasnya penerbitan filem berjudul Innocence of Muslims oleh Sam Bacile, yang menghina, mengutuk dan memaparkan penipuan tentang peribadi dan ajaran Nabi Muhammad SAW, bahkan al-Quran serta para sahabat Baginda.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sebagai umat Islam, penerbitan berbentuk provokasi liar, biadab dan mencemar hubungan dan toleransi antara agama seperti ini tidak harus berlaku.

Menurutnya, oleh sebab itu, pihak berkuasa Amerika Syarikat perlu mengambil tindakan sewajarnya ke atas penerbit filem ini, yang jelas telah membangkitkan kemarahan jutaan umat Islam seluruh dunia.

“Pada masa yang sama Pemuda Umno berpendirian bahawa segala reaksi dan bantahan hendaklah dengan aman sejajar dengan ajaran agama Islam yang mengingatkan penganutnya daripada bertindak melampaui batas.

“Ingatlah ketika Nabi Muhammad SAW dihalau serta dibaling batu sehingga berdarah ketika berdakwah di Thaif, Baginda tidak membalas tetapi mendoakan agar ALLAH memberi petunjuk dan hidayah kepada penduduk di sana. Inilah qudwatun hasanah atau contoh terbaik daripada Rasulullah sendiri,” katanya.

Kelmarin, Duta Amerika Syarikat ke Libya, Christopher Stevens terbunuh apabila ratusan demonstran yang marah dengan penerbitan filem itu menggempur bangunan kedutaan di Benghazi.

Treler filem selama 14 minit Innocence of Muslims dihasilkan oleh pengarah anti-Islam, Sam Bacile, 52, menerima kecaman banyak pihak terutamanya umat Islam selepas ia dimuat naik ke dalam laman Youtube.

Wall Street Journal melaporkan Bacile turut menerima bantuan berjumlah AS$5 juta (RM15 juta) daripada kira-kira 100 bangsa Yahudi untuk membuat filem yang sengaja memburuk-burukkan sifat Nabi Muhammad SAW.
Bendera PKR kena bakar

Bendera PKR kena bakar


Ismail Ahmad
Beginilah keadaan bendera PKR yang dibakar dipercayai dilakukan awal pagi tadi.
 
LABU - PKR Labu tidak menyangka tiga bendera parti yang digantung sejak sebulan lalu turut menjadi mangsa dibakar individu tidak bertanggungjawab walaupun ia berada di kawasan Masjid Kariah Pasir Putih.

Koordinator Keadilan Labu, Mokhtar Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3.30 pagi semalam.

“Kira-kira jam 1 pagi tadi (semalam) saya melalui kawasan berkenaan dan mendapati bendera itu masih elok.
“Pada jam 1.30 pagi hingga 3.30 pagi, hujan turun agak lebat dan saya menjangkakan bendera itu dibakar sejurus hujan reda iaitu kira-kira jam 3.30 pagi.

“Kita tidak menuding jari mana-mana pihak dan mahu perkara ini disiasat mengikut undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Bilik Gerakan PKR Labu, dekat Kampung Batu 8, di sini, semalam.

Hadir sama, Penaung Majlis Permuafakatan Keadilan Labu, Ismail Ahmad.
Sementara itu menurutnya, kejadian itu disedari kira-kira jam 9.30 pagi setelah dimaklumkan rakannya.
Menurutnya, kejadian itu pertama berlaku. Sebelum ini, bendera milik PKR dan komponen Pakatan Rakyat (PR) yang lain tidak dimusnahkan sebaliknya diturunkan.

“Kita terpaksa buat laporan polis di Balai Polis Labu kira-kira jam 10 pagi kerana tidak mahu perkara ini berulang dan ini merupakan satu provokasi yang boleh mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam kalangan penyokong PKR,” katanya.
Sementara itu Ismail berkata, bendera parti telah dipasang di semua kawasan di Dun Labu terutamanya di Simpang Tiroi hingga Pekan Labu.

“Sebelum ini kita mendapat maklum balas bahawa ada sesetengah pihak yang tidak senang melihat bendera PKR dipasang begitu banyak.
“Kita tidak pernah mengganggu bendera parti lain meskipun dipasang di kawasan yang sama,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akur sekiranya bendera PKR dilarang dipasang di tiang-tiang milik agensi kerajaan kerana memahami peraturan.

Bagaimanapun katanya, penguatkuasaan itu juga perlu dilakukan ke atas semua parti politik lain dan kebanyakan bendera partinya dipasang di kawasan persendirian.