
Nasrudin Hasan Tantawi
Timbalan Ketua Pemuda Pas Kawasan Rompin, Razali Awang Muda berkata, calon muda berpotensi dan berkelayakan diyakini dapat memberi kelebihan kepada Pas untuk merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, Pas mempertaruhkan beberapa calon muda pada PRU akan datang antaranya Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hasan Tantawi dan Penasihat Undang-Undang Pas Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly.
“Soal pembahagian kerusi memang tidak menjadi masalah. Cuma kita berharap dua nama ini diberi perhatian kerana mereka calon berpotensi untuk merampas kerusi Parlimen Rompin,” katanya.
Mengulas siapakah calon paling layak untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Rompin, Razali berkata, semua calon mempunyai kelebihan masing-masing, namun Nasrudin mempunyai harapan lebih cerah untuk menggalas tanggungjawab itu.
“Kami mengalu-alukan jika Nasrudin dipilih pucuk pimpinan tertinggi kerana ia secara tidak langsung memberi kelebihan kepada Pas untuk meraih undi dalam kalangan generasi muda dan warga peneroka," katanya.
Menurutnya, Nasrudin yang juga anak peneroka Felda Keratong 5 boleh diketengahkan kerana beliau bukan saja dikenali di peringkat tempatan, malah dianggap sebagai calon popular di peringkat nasional.
“Nasrudin disifatkan mudah didekati, mesra dan senang berurusan. Walaupun tidak menjadi wakil rakyat, beliau turut memainkan peranan dalam mengetengahkan masalah rakyat untuk diselesaikan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, keputusan menentukan calon terletak di tangan Majlis Syura dan sebagai ahli di peringkat kawasan, beliau tetap menyokong siapa saja calon di Parlimen itu.
“Kita akan sokong sesiapa saja dan bekerja keras untuk memastikan calon-calon Pas yang diketengahkan dalam PRU mencapai kemenangan,” katanya.
Sinar Harian semalam melaporkan Pas Kawasan Rompin dijangka meletakkan calon berpotensi dan boleh menang untuk bertanding kerusi Parlimen Rompin dalam menghadapi PRU13.
Tiga nama popular disebut-sebut mengisi kerusi itu adalah Nasrudin, Mohd Fadzli dan Yang Dipertua Pas Kawasan Rompin, Shukri Ahmad.
Antara tiga nama itu, Nasrudin dikatakan calon paling popular memandangkan beliau mempunyai pengaruh besar yang melayakkannya bertanding bagi kerusi Parlimen.
0 comments: