Saturday, 15 September 2012

PR mahu SPR selesai dahulu isu pengundi hantu


Setiausaha DAP Negeri, Nga Kor Ming
Setiausaha DAP Negeri, Nga Kor Ming
 
IPOH Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menyelesaikan dahulu isu keraguan pengundi yang dikatakan meningkat mendadak di beberapa negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) terutama Selangor sebelum kata sepakat mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dicapai.

Setiausaha DAP Negeri, Nga Kor Ming berkata, langkah itu perlu berikutan senario perbezaan pendirian yang berlaku di Selangor, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang mengenai persetujuan tarikh pilihan raya ada kaitannya dengan masalah keraguan pengundi di negeri masing-masing.

“Bagi Kelantan, mereka mungkin tidak mempunyai masalah sekiranya pilihan raya dijalankan serentak kerana isu pengundi hantu  mungkin tidak sehebat yang berlaku di Selangor.

“Dengan peningkatan jumlah undi mendadak mencecah 100,000, pastinya Selangor ada alasan tersendiri mengapa mereka menyatakan pendirian untuk mengadakan pilihan raya berasingan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Kor Ming berkata, sama ada secara serentak atau berasingan, beliau percaya setiap keputusan yang diambil adalah salah satu strategi pilihan raya bagi memastikan kemenangan di negeri yang dikuasai terus berpihak kepada PR.

Menurutnya, ia sama sekali tidak menunjukkan bahawa pimpinan PR tidak sepakat, sebaliknya secara terbuka memberi kebebasan kepada kuasa pentadbiran negeri masing-masing dalam merencana pendekatan sebelum kata sepakat  dicapai.

“Selangor kita ibaratkan seperti jantung pentadbiran negara, jadi sudah semestinya pelan startegik yang sesuai bagi menghadapi PRU dibuat di negeri itu berbanding Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang lebih bergantung kepada  senario politik semasa,” katanya.

Pendapat sama turut disuarakan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Beliau berkata, masalah kos meningkat sekiranya Selangor mengadakan pilihan raya secara berasingan seperti yang dinyatakan SPR adalah skala kecil berbanding risiko kemenangan atau kekalahan yang bakal dihadapi PR di negeri itu.

“Saya melihat PR di Pulau Pinang, Kedah serta Pas di Kelantan tidak berdepan dengan ancaman besar, berbanding Selangor.

“Apa pun yang berlaku ia bergantung kepada isu yang berlaku sekarang dan Selangor berdepan dengan masalah keraguan pengundi yang masih belum disahkan SPR, jadi isu ini perlulah diselesaikan dahulu,” katanya.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Dr Muhammad Nur Manuty pula yakin, pimpinan tertinggi PR bersikap matang dalam mengatur setiap pelan strategi pilihan raya akan datang.

Baginya, apa yang dinyatakan adalah salah satu proses perbincangan dan bukan keputusan muktamad.

“Setiap negeri ada justifikasinya tersendiri dan saya melihat ia satu proses perbincangan yang matang, apa jua keputusan yang diambil, pasti ianya sesuatu yang menguntungkan PR kelak,” katanya.
Previous Post
Next Post
Related Posts

0 comments: