Saturday, 15 September 2012

KL mungkin tidak sertai Liga Perdana musim depan


Astaman Abdul Aziz
Astaman Abdul Aziz 
 
KUALA LUMPUR berkemungkinan tidak akan beraksi pada Liga Perdana musim depan ekoran kegagalan mencari penaja yang sesuai untuk menampung kos pengurusan pasukan tersebut setakat ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Datuk Astaman Abdul Aziz berkata, mereka tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada Liga Malaysia tahun depan sekiranya mereka masih gagal mencari penaja yang sesuai.  

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menetapkan setiap pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia mempunyai dana yang mencukupi untuk kos pengurusan pasukan selama semusim termasuk pembayaran gaji pemain dan staf kejurulatihan

"Kita masih berhasrat untuk beraksi dalam Liga Perdana musim depan namun kita masih gagal memenuhi prasyarat yang ditetapkan oleh FAM," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan KLFA di Kuala Lumpur, malam tadi.

Pasukan Kuala Lumpur terpaksa turun ke Liga Perdana musim depan selepas menduduki tangga tercorot Liga Super musim ini tanpa mencatatkan sebarang kemenangan dalam 26 perlawanan.
Ditanya mengenai hala tuju pemain skuad warga kota untuk saingan musim depan, Astaman berkata persatuan tersebut tidak menghalang mana-mana pemainnya untuk berhijrah ke pasukan lain.
"Setiap daripada pemain kita mempunyai kontrak yang berbeza-beza... ada yang setahun, dua tahun...jadi kita bersedia untuk melepaskan mereka menyertai pasukan lain sekiranya keadaan kewangan kita tidak mengizinkan," katanya.

Sebelum ini, FAM mengesahkan wakil kelab dari Johor iaitu MP Muar tidak akan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan selepas dikatakan menghadapi masalah kewangan.
Tempat mereka bakal diisi antara wakil kelab dari Pahang, Shahzan Muda dan wakil kelab Negeri Sembilan, Betaria FC dalam perlawanan kalah mati yang dijadualkan berlangsung pada 6 Oktober ini. - Bernama
Previous Post
Next Post
Related Posts

0 comments: