Tuesday, 16 October 2012

Randy Pangalila, Elfira Loy: Benarkah Dalam Hati Ada Taman?


Randy Pangalila, Elfira Loy
Randy Pangalila, Elfira Loy
 
Pertama kali digandingkan dalam telefilem, Mimpi Sampai Ke Bintang, peminat bagai 'merestui' gandingan aktres kecil molek, Elfira Loy dan bintang dari seberang, Randy Pangalila.
Sejak dari itu, ramai yang 'merayu' pada penerbit Cube Film Sdn Bhd yang juga pengarah, Michael Ang, agar Randy dan Elfra digandingkan buat kali kedua.

Atas rayuan dan permintaan ramai itu juga, Michael sekali lagi menggandingkan mereka dalam drama bersiri 13 episod, Dalam Hati Ada Taman yang akan disiarkan bermula 29 Oktober ini, setiap Isnin jam 9.30 malam di Astro Ria (saluran 104).
Namun, di sebalik gandingan itu, ramai melihat keserasian antara Randy dan Elfira sehingga ada beranggapan mereka terlibat dengan cinta lokasi.

Menyedari cerita itu sudah menjadi topik hangat, baik Randy mahupun Elfira, tidak cepat melatah fan menegaskan hanya berkawan rapat dan tidak bercinta. "Ini bukan soal Elfira bukan 'taste' saya atau tidak.
Saya juga tidak pernah kata Elfira bukan 'taste' saya.
Saya akui, dia seorang gadis yang cantik dan comel.

"Bagaimanapun, saya sudah mempunyai kekasih dan Elfira pula hanya seorang teman. Mungkin sukar ke fasa seterusnya, kerana kalau saya kata hanya mahu berkawan, saya berkawan sahaja. Kalau mahu bercinta, saya lebih serius ke fasa seterusnya (bercinta)," ujar jejaka murah dengan senyuman ini.

Diusik mengenai teman wanitanya yang juga bintang sinetron Indonesia, Randy yang pada mulanya hanya memberi bayangan pangkal nama kekasihnya, akhirnya akur untuk berkongsi bahawa dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan Michella Putri.

"Kami sudah dua tahun bercinta dan saya sudah meletakkan sasaran untuk berkahwin dalam masa tiga tahun lagi. Ketika itu saya berusia 25 tahun dan dia 22 tahun. Namun, semua itu hanya perancangan dan jika diizinkan Tuhan yang mengehendakinya," katanya.
Bagi Elfira pula, dek kerana usianya yang masih muda, dia belum mahu terlibat dalam hubungan cinta dan tidak pernah bercinta sejak zaman sekolah.

Berkongsi pengalaman gandingan dalam drama bersiri ini, baik Randy mahupun Elfira mengakui tidak ada masalah, memandangkan pernah bekerjasama.

"Ketika kami bergandingan mula-mula dahulu, saya akui ada masalah komunikasi. Tapi ia dapat diatasi dan tidak sukar mendapatkan keserasian," ujar Elfira.

Elfira anak emas Michael Ang?

Bagaimanapun, di sebalik penglibatan Elfira dalam telefilem mahupun drama terbitan dan arahan Michael, ramai memperkatakan bahawa Elfira kini menjadi anak emas Michael.

"Saya tidak kisah andai ada pihak melabelkan saya sebagai anak emas Michael. Tapi sebenarnya tak semua cerita arahan Michael saya ada terlibat sama. Malah saya akui, selepas terlibat dalam telefilem Kum Kum arahannya, barulah ramai yang melihat bahawa saya boleh bawa watak lebih dari sekadar watak air mata atau budak sekolah.

"Michael berani beri kepercayaan untuk bawa satu watak baru yang tak pernah saya bawa. Selepas itu, dia banyak membentuk saya dan pihak lain juga sudah mula membuka mata melihat bakat saya," katanya.

Bagaimanapun, anak kacukan Melayu, Cina dan Arab ini menegaskan, dia berharap tiada pihak yang salah faham tentang statusnya bersama syarikat Michael kerana dia bergerak sendiri dan turut menerima tawaran luar.

"Pada 22 Oktober nanti, saya dan team Fear Factor Celebriti Malaysia akan terbang ke Cape Town. Sedih bercampur teruja kerana kami perlu menyambut Hari Raya Korban di sana. Pulang sahaja dari Cape Town, saya akan memasuki penggambaran telefilem bersama Datin Paduka Shuhaimi Baba," ujarnya.

Masih dipantau ibu
Jika sesetengah remaja lain lebih gemar bergerak bebas tanpa kongkongan dan pemantauan ibu bapa, lain pula dengan Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy yang menjadikan ibunya sebagai pengurus, sekali gus menjadi pengkritik dan juga memantau segala tindak tanduknya.

Mencontohi beberapa selebriti yang menjadi bapa atau ibu sebagai pengurus, Elfira berkata, dia tidak sedikit pun merasa rimas untuk membawa ibunya, Filzah Yusoff, 46 ke mana sahaja.

"Saya akui, sebagai anak yang sedang meningkat remaja, dugaan dalam mengharungi keadaan sekeliling itu bukan mudah. Justeru, bagi mengelakkan saya terlibat dalam cerita kontroversi yang memburukkan karier saya, saya pilih ibu untuk uruskan karier saya. Malah adik-adik juga begitu.

"Saya dan adik-adik juga tidak keberatan untuk bawa ibu bersama kerana jika apa-apa berlaku, dia tahu apa yang berlaku dan bukannya dengar dari orang lain. Walaupun kita boleh berfikir dengan matang, tapi sebagai 'budak baru belajar', saya amat memerlukan sokongan yang padu dari keluarga sendiri," jelasnya.

Randy selesa di Malaysia

Mendekati jejaka berusia 22 tahun ini pula, biarpun sedang mendaki puncak populariti, namun Randy amat mudah didekati dan tidak sombong seperti sesetengah artis luar lain.
Mengakui selesa berada di Malaysia dan gemar hidangan nasi lemak, Randy berkata, peluang bekerja dengan Michael memberi pengalaman baru buatnya.

"Dari segi bekerja, penggambaran, tentunya saya rasa lebih tenang bekerja dengan Michael kerana dia melayan pelakonnya seperti kawan-kawan dan kita juga bebas memberi idea.

"Jika di sana, hari ini kita lakukan penggambaran, esok sudah ditayangkan di televisyen dan saya sendiri memang tidak pernah lihat hasil lakonan saya.

"Dari segi kelengkapan juga, kualiti gambar dalam drama ini, kalau di Indonesia biasanya untuk standard filem. Malah peminat dan media di sini juga lebih tenang dan tidak agresif seperti di sana," ujarnya.

Tak kecil hati dengan Zed Zaidi

Menyentuh mengenai pertikaian Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berkenaan kehadirannya yang berpeluang muncul di program khas Randy! Oh My Raya yang didakwa dilakukan tanpa prosedur yang betul, Randy berkata, dia tidak sedikit pun berkecil hati dan menganggap segala yang berlaku sebagai satu salah faham.

Malah, pemilik nama sebenar, Randy Dionisius Pangalila berkata, sebagai pelakon asing yang mencari peluang berlakon dan mengembangkan karier di Malaysia, dia berharap agar isu tersebut tidak lagi diperbesar-besarkan.

"Sejak awal lagi apabila ditawarkan Michael berlakon di sini, saya sudah bertanya soal permit dan keizinan untuk saya berlakon di Malaysia. Sebagai pelakon dari luar, saya sedar, perkara itu adalah paling penting buat saya.

"Oleh kerana itu, saya lihat segala isu yang timbul hanya salah faham dan berharap ia tidak lagi diperbesar-besarkan lagi," akhirinya.
Previous Post
Next Post
Related Posts

0 comments: