
Barisan 24 peserta yang sedia berentap dalam MasterCher musim kedua nanti - Foto Sinar Harian MUHAMMAD ZULFADHLI AHMAD ZAKI
Mula bersiaran di Astro Ria (saluran 104) setiap Sabtu hingga Khamis, jam 9 malam, sejak 8 September lalu, musim ini membariskan 24 peserta dari pelbagai latar belakang dan kepakaran.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, kesemua peserta yang terpilih rata-rata mempunyai kualiti dan potensi yang baik untuk pergi jauh dalam bidang seni kulinari.
"Mereka hadir daripada pelbagai latar belakang seperti doktor, arkitek, penasihat kecantikan dan peninju tomoi.
"Sewaktu di boot camp, kesemua peserta terpaksa mengharungi beberapa siri rintangan dan penyingkiran sebelum berjaya meneruskan perjalanan dalam MasterChef Malaysia musim kedua ini.
"Pada penghujung rancangan nanti, hanya seorang akan dinobatkan sebagai juara," katanya dalam sidang media memperkenalkan 24 peserta musim terbaru di dapur MasterChef Malaysia di Bukit Rimau, Shah Alam, malam kelmarin.
Mengenai juri, tiga gandingan mantap dari MasterChef Selebriti, Chef Johari Edrus (Papa Joe), Chef Zubir Md Zain dan Chef Adu Amran, diberi kepercayaan untuk menerajui MasterChef Malaysia musim ini.
"Ketiga-tiga chef ini mempunyai pengalaman yang tinggi dalam bidang penyediaan makanan di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa.
"Saya yakin menerusi penilaian yang dibuat ketiga-tiga juri ini, peserta pasti akan melakukan yang terbaik demi memikat hati mereka," katanya.
Tema dapur Malaysi a
BERKONGSI lanjut mengenai MasterChef musim kedua ini, Raqim berkata, kali ini Astro akan memberi fokus kepada penyediaan masakan tempatan.
"Kita mahu memartabatkan makanan Malaysia ke peringkat antarabangsa. Ia adalah inisiatif Astro untuk mempromosikan masakan tempatan seterusnya memartabatkan Malaysia di mercu dunia.
"Bertepatan dengan tema yang dipilih, MasterChef Malaysia musim kedua bukan sahaja mengangkat seni kulinari Malaysia, tetapi turut meliputi bahan dan peralatan yang digunakan untuk persediaannya.
"Kami juga turut menerapkan elemen Malaysia pada set studio yang digunakan untuk membangkitkan semangat para peserta menyediakan hidangan yang terbaik," jelasnya.
Tambah Raqim, penonton juga boleh menyaksikan pelbagai ujian dan rintangan yang dilalui kesemua peserta ini.
"Sebanyak enam program akan ditayangkan selama seminggu iaitu Peti Saji Misteri dan Ujian Cipta Rasa (Sabtu), Ujian Sajian Pantas dan Penyingkiran (Ahad), Cabaran Chef Undangan (Isnin), Cabaran Sajian Luar (Selasa), Ujian Rasa dan Penyingkiran (Rabu) dan Kuliah Master (Khamis).
"Kesemua program ini akan ditayangkan di Astro Ria (Saluran 104) tepat jam 9 malam," katanya.
Bagi musim kedua ini, juara MasterChef Malaysia musim kedua bakal memenangi wang tunai RM100,000 dan berpeluang tampil di pelbagai program yang akan diaturkan pihak Astro kelak.
Program ini turut mendapat tajaan utama daripada Panasonic Cooking Magic dan MyChef sebagai penaja bersama.
Peserta termud a
ORANGNYA kecil sahaja dan antara 24 peserta terpilih, anak kelahiran Kuala Lumpur ini merupakan peserta termuda.
Menariknya, peserta yang baru sahaja berusia 18 tahun ini merupakan seorang peninju Tomoi dan atlet Taekwando kebangsaan.
Menurut Muhd Fazrul Nizam Anaz Anizan atau Along, dia menyertai MasterChef kerana mahu menyandang gelaran juara musim kedua.
Memang itu impian saya dan saya yakin setiap peserta pasti mempunyai impian yang sama. Apa pun, saya akan memberikan yang terbaik dan membawa satu kelainan bagi musim kedua ini.
"Lagi pun masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri dan saya sudah tidak sabar menantikan cabaran bagi musim ini," katanya sanggup menangguhkan pelajaran semata-mata hendak menyertai program ini.
Bercerita mengenai minatnya dalam bidang ini, Along menjelaskan, dia mula minat memasak kerana melihat emaknya yang rajin menyediakan juadah buat keluarga.
"Semuanya bermula daripada emak, sedikit-sedikit saya belajar dan menimba pengalaman darinya, kemudian saya cuba untuk memasak pelbagai resipi sendiri," katanya yang mula memasak seawal usia 9 tahun lagi.
Raqim (tiga, kiri) bersama barisan juri ketika sidang media, kelmarin. Along peserta termuda MasterChef musim ke-2.
0 comments: