Bomoh Cabul Murid Perempuan, Dakwa Keluarkan ‘Batu’ Melalui Kemaluan!
ALOR SETAR – Seorang murid perempuan
tahun enam di sini trauma selepas menjadi mangsa nafsu serakah bomoh
bergelar ‘ustaz’ apabila dipercayai dirogol berulang kali dalam kejadian
berasingan di Taman PKNK, sejak awal tahun lalu.
Lelaki berusia 64 tahun itu dikatakan
mengambil kesempatan melampiaskan nafsu selepas mangsa ditinggalkan
ibunya kepada ‘ustaz’ berkenaan di rumah itu untuk sesi rawatan pada
waktu pagi sebelum menjemputnya pada waktu tengah hari.
Ibunya, Asmah, 47, (bukan nama sebenar)
berkata, dia tidak menyangka anaknya menjadi mangsa nafsu serakah lelaki
itu kerana beranggapan lelaki itu akan cuba membantu anaknya yang
didakwanya mempunyai sejenis penyakit dalam badan.
Katanya, dia hanya dapat tahu perkara
itu selepas anaknya menceritakan peristiwa hitam itu kepada sepupunya
sebelum diberitahu kakaknya.
“Masa itu saya nak buat rawatan kepada
mak sebab badan dia sering gatal. Selepas dapatkan rawatan, penyakit mak
pulih. Pada masa sama, lelaki itu turut memberitahu anak saya alami
sejenis penyakit dalam badan dan perlu rawatan secepat mungkin.
“Saya memang tidak sangka lelaki itu
tergamak buat macam ini kepada anak saya sebab saya beranggapan dia akan
tolong anak saya betul-betul. Boleh dikatakan selang sehari saya
dapatkan khidmat daripada lelaki itu untuk ubati penyakit anak,”
katanya.
Menurutnya, lelaki itu mendakwa anaknya
perlu dimasukkan ke dalam sebuah bilik tanpa teman untuk elak gangguan
semasa sesi rawatan.
“Percaya dengan kata-kata itu,
saya pun tunggu di ruang tamu. Selepas sesi rawatan, ‘ustaz’ itu
memaklumkan anak saya mempunyai penyakit misteri, iaitu terdapat batu
dalam badannya dan perlu dikeluarkan melalui kemaluan.
“Pada suatu hari, dia sekali
lagi minta saya hantar anak ke rumahnya untuk selesaikan rawatan
sepenuhnya. Kemudian, saya hantar anak ke rumah lelaki itu sambil
ditemani sepupunya, namun lelaki itu menghalau kami pulang kerana
membawa teman. Dakwanya kalau bawa teman rawatan tidak boleh dilakukan.
“Bagaimanapun, selang dua minggu
kemudian, lelaki itu menghubungi saya dan meminta anak saya datang ke
rumah itu secepat mungkin untuk menyelesaikan penyakitnya dan dibenarkan
bawa teman. Saya pun tinggalkan anak dan anak saudara yang berumur 16
tahun di rumah itu sebelum menjemput mereka pada waktu tengah hari
selepas selesai waktu bekerja,” katanya.
Asmah berkata, dia tidak sangka
peristiwa hitam itu akan berlaku setelah anaknya memaklumkan dirinya
dirogol lelaki itu sementara anak saudaranya pula dicabul kemaluannya
sepanjang berada di rumah itu.
“Selepas mengetahui perkara itu, saya
bawa anak dan anak saudara ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk
mendapatkan rawatan dan pemeriksaan. Doktor yang merawat turut
mengesahkan bahawa terdapat kesan koyakan pada kemaluannya.
“Saya tidak puas hati dengan perbuatan
lelaki itu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Kota Setar supaya anak saya mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.
Asmah turut merayu polis bertindak segera kerana laporan sudah dibuat sejak tahun lalu. – Sinar Harian Online
0 comments: