MasterChef Malaysia Musim Kedua Kembali!
Jika pada musim pertama MasterChef Malaysia menyaksikan seorang doktor gigi menjadi juara rancangan kegemaran ramai itu, siapa pula yang akan menyandang gelaran sama pada tahun ini?
Bertitik tolak daripada kejayaan dan sambutan hebat ini, Astro membawakan kembali MasterChef Malaysia untuk musim kedua yang telah ke udara di Astro Ria (Saluran 104) pada 8 September lalu.
Dengan bertemakan ‘Dapur’ Malaysia ke Persada Dunia, MasterChef Malaysia musim ini bakal memfokuskan kepada penyediaan masakan tempatan dan memartabatkan makanan Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Encik Raqim Ahmad, pihak Astro Ria amat berbangga kerana telah menayangkan kembali sebuah program yang dinantikan oleh rakyat Malaysia.
“Sambutan yang diterima MasterChef Malaysia musim pertama dan MasterChef Selebriti baru-baru ini ternyata telah menunjukkan fenomena luar biasa yang berlaku di kalangan penonton negara ini.
“Kedua-dua program ini telah muncul sebagai pilihan utama penonton sepanjang ditayangkan di saluran ini,” kata Raqim yang dipetik melalui Budiey.com.
Menurutnya, melihat daripada peningkatan jumlah peserta yang terlibat dalam sesi ujibakat yang berakhir pada bulan Jun yang lalu, Astro mengadakan enam episod ujibakat sebelum memilih peserta akhir.
Selepas enam episod siaran sesi ujibakat dan cabaran Bootcamp disiarkan, seramai 24 peserta akan berjuang di MasterChef Malaysia untuk musim kedua ini.
Sementara itu, Juara MasterChef Malaysia musim kali ini bakal memenangi wang tunai sebanyak RM100,000 dan berpeluang untuk tampil di pelbagai program yang akan diaturkan oleh pihak Astro kelak.
Mari kita lihat siapa yang bakal menjadi juara!
0 comments: