Tuesday, 18 September 2012

Relau Lebih Efisien Lupus Al-Quran

Relau Lebih Efisien Lupus Al-Quran

Relau Lebih Efisien Lupus Al-Quran

 

KUALA TERENGGANU — Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berjaya mencipta sebuah relau bagi melupuskan naskah Al-Quran
menggunakan kaedah pembakaran secara lebih efisien.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JHEAT, Mohamad Noor Mohd berkata, relau itu memudahkan proses pelupusan, mengurangkan tempoh pembakaran dan tidak menjejaskan alam sekitar.
“Sebelum ini, proses pelupusan mengambil masa panjang kerana perlu melakukan beberapa kerja seperti mengasingkan kertas, meraciknya supaya lebih kecil, membakar dan membuangnya ke tengah laut.
“Dengan adanya relau baharu ini kerja meracik tidak lagi diperlukan kerana relau ini mempunyai jejari tajam yang berpusing untuk kerja racikan ketika proses pembakaran berjalan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata relau berkenaan adalah hasil ciptaan 10 kakitangan jabatan itu yang mengambil masa sembilan bulan direka manakala proses membuatnya mengambil masa empat bulan.
Ketua pasukan yang menghasilkan relau itu, Wan Zainuddin Wan Mansor berkata cabaran utama mencipta relau itu ialah perlu mematuhi syariah Islam pada masa sama tidak melanggar peraturan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai kaedah pembakaran yang ingin dilakukan.
“JAS tidak membenarkan kaedah pembakaran demi menjaga kelestarian alam sekitar, namun kaedah relau ini telah mendapat kelulusan JAS kerana ia tidak menjejaskan persekitaran,” katanya.
Sebanyak 11 buah kitab Al-Quran akan menghasilkan kira-kira satu kilogram abu dan relau berkenaan boleh membakar Al-Quran tanpa had.
Penghasilan relau itu yang menelan belanja RM7,000 memenangi tempat ketiga dalam pertandingan Inovatif dan Kreatif Rekacipta antara jabatan dan agensi kerajaan Terengganu baru-baru ini.– BERNAMA

 

Previous Post
Next Post
Related Posts

0 comments: