SEREMBAN – Bernikah secara batin dan perlu melakukan hubungan seks
selama 100 hari. Itulah syarat ditetapkan seorang bomoh terhadap pesakit
wanitanya bagi mengubat penyakit dihadapi.
Bomoh berusia 48 tahun mengenakan caj RM200 terhadap pesakit dan
dipercayai melakukan pukau sebelum menjalankan upacara pernikahan.
Dengan memegang sebuah kitab suci al-Quran, bomoh berkenaan akan
memegang tangan pesakit dan mengucap akad ‘Aku nikahkan dikau dengan aku
berserta fidyah’.
Bagaimanapun, tindakan bomoh warga tempatan itu terbongkar apabila
dicekup Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di rumah
pesakitnya di Kampung LB Johnson, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, bomoh terbabit
ditahan sebaik saja selesai bernikah batin dengan seorang wanita berusia
24 tahun yang mengalami masalah kesihatan.
Serbuan diketuai Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS,
Ahmad Zaki Hamzah bersama 15 anggotanya hasil risikan dan maklumat orang
awam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Husaini
Mustafa berkata, ketika serbuan, bomoh bersama pasangannya itu berada
dalam bilik hanya memakai pakaian dalam dipercayai mahu melakukan
hubungan seks, selepas upacara nikah batin selesai.
“Upacara nikah batin dilakukan bomoh berkenaan tanpa saksi. Dia hanya
menggunakan kitab suci al-Quran dan diikuti bacaan mantera.
“Pesakit dikenakan bayaran untuk setiap upacara nikah batin. Selain
membaca akad dan mantera, pesakit perlu melakukan hubungan seks bersama
bomoh itu selama 100 hari sebagai syarat untuk menyembuhkan penyakit,”
katanya.
Menurutnya, bomoh berkenaan sudah mempunyai isteri dipercayai datang
dari Kuala Lumpur dan berasal dari negara jiran, namun mendapat
kerakyatan di negara ini.
“Dia datang ke rumah wanita yang tinggal bersendirian itu kononnya mahu
mengubati penyakitnya,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat Bahagian
Penguatkuasaan JHEAINS, semalam.
Ahmad Husaini berkata, bomoh yang tidak mempunyai pekerjaan itu
dipercayai sudah lama bergiat aktif dalam kegiatan tidak bermoral itu.
“Dia cuba mengaburi mangsa dengan mendakwa mampu menyembuh penyakit dan
dipercayai menggunakan ilmu pukau supaya mangsa berada dalam keadaan
tidak sedar ketika upacara itu dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, bomoh tersebut kini ditahan dan akan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini.
“Dia akan didakwa mengikut Seksyen 49 Enakmen Jenayah Syariah Negeri
Sembilan kerana mencela agama Islam, Seksyen 50 enakmen yang sama kerana
menggunakan ayat al-Quran secara salah dan Seksyen 77 kerana memikat
dan melarikan gadis untuk tujuan seks,” katanya.
Menurutnya, JHEAINS percaya terdapat beberapa individu lain yang
terlibat dan sedang mengenal pasti mangsa yang pernah dinikahinya
sebelum ini, termasuk di negeri-negeri lain. – SinarHarian
0 comments: