Kategori Anugerah Blockbuster 2011
Nancie Foo
Kini, buat julung kalinya, peminat filem tempatan diberi mandat penuh menjadi juri bagi menentukan filem kesukaan menerusi Anugerah Blockbuster 2011 yang bakal dianjurkan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) di Stadium Melawati, Shah Alam pada 6 Oktober depan.
Menurut Pengurus Festival Anugerah Blockbuster 2011, Nancie Foo menyatakan tujuan anugerah ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada peminat tempatan menobatkan filem dan pelakon kesukaan mereka dan mengatakan anugerah ini seakan-akan penganjuran Choice’s Award yang sering diadakan di Amerika Syarikat dan United Kingdom.
“Anugerah ini memberi kuasa undian seratus peratus kepada peminat filem tempatan dan yang uniknya mengenai penganjuran anugerah ini turut mengangkat filem yang kurang mendapat jumlah kutipan tetapi popular di mata peminat,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai bagaimana idea untuk menganjurkan anugerah seumpama ini, beliau menjelaskan, “idea mengadakan anugerah ini sebenarnya datang dari Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abd Halim yang mengusulkan cadangan ini dua tahun lalu dan akhirnya baru kini kami mendapat peluang dan ruang untuk menganjurkannya."
“Filem yang layak bertanding adalah filem yang ditayangkan di pawagam dalam tempoh bermula daripada 1 Januari sehinggalah 31 Disember 2011. Penyertaan filem ini terbuka kepada mana-mana filem tempatan tidak kiralah sama ada filem berkenaan mendapat jumlah kutipan yang tinggi atau pun tidak.
"Yang pasti, filem itu mestilah popular di kalangan peminat tempatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Bermula 3 September lalu, senarai 10 pencalonan terbaik diundi secara atas talian oleh peminat melalui www.anugerahblockbuster.com.my dan kemudiannya pada 18 September ini akan diadakan sidang media mengenai pengumuman senarai pendek lima pencalonan terbaik bagi setiap kategori yang dipilih peminat.
“Selepas pengumuman senarai pendek lima pencalonan terbaik dilakukan, peminat kemudiannya perlu membuat undian secara SMS dan undian akan bermula pada 18 September dan berakhir pada malam anugerah iaitu 6 Oktober,” katanya.
Selain itu, majlis anugerah terbabit turut mempertaruhkan satu anugerah khas iaitu Anugerah Istimewa PFM yang mengiktiraf pencapaian individu dalam industri filem tempatan dan ianya tidak dipertandingkan sebaliknya calon penerimanya adalah datang daripada pihak penganjur.
Sementara itu, sebanyak 42 filem yang diterbitkan sepanjang tahun lalu layak untuk dipertandingkan. Antaranya, termasuklah Khurafat, Hikayat Merong Mahawangsa, Kongsi, Hantu Bonceng, Nur Kasih The Movie, KL Gangster, Ombak Rindu, Songlap dan banyak lagi.
Berikut adalah senarai 14 kategori yang dipertandingkan di Anugerah Blockbuster 2011:
1. Anugerah Filem Terhebat
2. Anugerah Tuan Direktor Terhebat
3. Anugerah Direktor Baru Terhebat
4. Anugerah Filem Aksi Terhebat
5. Anugerah Filem Kelakar Terhebat
6. Anugerah Filem Takut Terhebat
7. Anugerah Drama Muzikal Terhebat
8. Anugerah Hero Terhebat
9. Anugerah Heroin Terhebat
10. Anugerah Hero Baru Terhebat
11. Anugerah Heroin Baru Terhebat
12. Anugerah Watak Penyangak Terhebat
13. Anugerah Lagu Filem Terhebat
14. Anugerah Istimewa PFM (tidak dipertandingkan)
0 comments: