Thursday, 18 October 2012

Melecur mahu selamatkan wang simpanan


Melecur mahu selamatkan simpanan
Norlela menunjukkan sisa syiling yang tinggal dari tabungnya
Melecur mahu selamatkan simpanan
Penduduk kampung meninjau sisa rumah kedai dua tingkat yang musnah dalam masa 10 minit.

BACHOK – Seorang warga emas melecur pada lengannya dalam cubaannya meredah api untuk menyelamatkan wang simpanan bernilai RM1,200.
Namun, Siti Sallleh, 60-an, gagal berbuat demikian disebabkan api marak dari tingkat atas rumah kedai milik anak angkatnya kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Siti berkata, ketika kejadian dia berada di tingkat bawah manakala anak angkatnya, Norlela Yusof, 48, berada di depan kedai bersama cucu, Manarina Damia Mohd Rafi Zailani, 3.
“Ketika itu menantu anak angkat, Tuan Hazilah Tuan Yahya, 24, meluru turun dari tingkat atas rumah dan menjerit memberitahu rumah terbakar.

“Saya bergegas ke tingkat atas menyelamatkan wang simpanan tetapi gagal kerana api terlalu marak dari ruang tamu tingkat atas. Apabila turun semula mencari cucu anak angkat, Mohd Aiman yang berusia tiga bulan, dia telah
diselamatkan terlebih dahulu.

"Saya tidak sedar bila lengan melecur akibat bahang kebakaran,” katanya semalam.

Rugi RM120,000

Pemilik rumah kedai tersebut, Norlela berkata, api marak terlalu cepat dalam masa 10 minit hingga dia tidak sempat menyelamatkan apa-apa.

“Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa dan hanya membawa cucu, Manarina Damia ke tempat selamat apabila menantu memberitahu rumah kami terbakar. Seorang lagi cucu, Mohd Irfan, 4, dibawa keluar oleh menantu.

“Semua barang perniagaan yang baru tiba semalam juga hangus.

"Semuanya dianggarkan bernilai RM120,000 termasuk barangan elektrik, perabot, wang tunai barang kemas bernilai RM7,500. Hanya tabung wang syiling dapat dikesan selepas api dipadamkan,” katanya yang tinggal bersama lapan ahli keluarga lain.

Menurutnya, ketika kejadian suaminya, Mohd Nafi Wok, 48; anak sulungnya, Mohd Larfi Zailani, 31; dan Mohd Larfi Azrin, 19, masing-masing tiada di rumah.

Norlela berkata, dia tidak menyangka rumah yang didiami lebih 10 tahun itu hangus begitu sahaja dan menganggap ia ujian ALLAH SWT.

“Buat sementara waktu kami terpaksa menumpang di rumah anak kedua, Mohd Larfi Zuria Asnan, 30.

Bantuan segera

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Jelawat, Datuk Dr Ilias Husain hadir menyampaikan sumbangan segera berjumlah RM5,000 dan keperluan lain termasuk pakaian, selimut dan sejadah selepas mendengar mengenai kebakaran berkenaan.

Bantuan susulan akan diusahakan kemudian untuk membantu keluarga ini membina semula kediaman mereka.

Norlela berterima kasih kepada semua jiran dan saudara mara yang datang membantu serta menghulurkan sumbangan.
"Terima kasih juga pada Datuk Ilias yang menghulurkan sumbangan segera untuk kami sekeluarga,” katanya.

Punca dalam siasatan

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Daerah Bachok, Ahmad Fakarudin Berahim mengesahkan menerima panggilan pada jam 12.06 dan tiba di tempat kejadian pada 12.27 tengah hari bersama sebuah jentera dan lapan anggota termasuk pegawai.

Pihak bomba yang tiba kemudiannya mendapati keseluruhan binaan tersebut telah musnah dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Previous Post
Next Post
Related Posts

0 comments: