Wednesday, 17 October 2012

Majlis pernikahan Farid, Diana janji kelainan


Farid Kamil dan Diana Danielle.
Farid Kamil dan Diana Danielle.
 
Setelah mengikat tali pertunangan secara tertutup 2 September lalu, akhirnya, Farid Kamil, 31, mengumumkan akan bernikah dengan aktres kacukan, Diana Danielle, 21, pada 3 November depan.

Farid turut mengejutkan tetamu yang hadir pada sesi pratonton filem arahan dan lakonan terbarunya, Petiga, di TGV Sunway Piramid, Bandar Sunway, dengan pengumumannya itu.

“Setelah mendapat restu kedua ibu bapa saya, saya mengumumkan bahawa saya dan Diana akan melangsungkan perkahwinan kami pada 3 November ini. Saya berharap dengan pengumuman ini, ramai pihak akan mendoakan yang terbaik buat kami,” katanya ringkas.

Bagaimanapun, Farid yang ditemui selepas itu berkata, mereka sepakat untuk memilih bulan November kerana ia merupakan bulan kelahiran Diana dan perancangan mengenai tarikh perkahwinan juga sudah dibuat sebelum bertunang lagi.

Katanya, mereka akan bernikah di Hotel Flamingo pada sebelah pagi, manakala resepsi akan dilakukan pada 21 November iaitu sehari sebelum hari ulang tahun kelahiran Diana, dan resepsi di sebelah pihaknya pula akan diadakan pada bulan Disember.

“Buat masa ini, persiapan sedang giat dilakukan dan kami memang sudah berbincang mengenai hal perkahwinan ini sejak awal lagi. Lokasi, konsep perkahwinan telah dipilih sendiri oleh Diana.

"Kami akan bernikah dalam taman di hotel tersebut. Kami pasti, majlis pernikahan ini lain dari yang lain," katanya.

Farid memberitahu, dia dan Diana juga merancang menghasilkan baju pernikahan sendiri.

"Ini memandangkan ia hari paling bersejarah dalam hidup kami. Namun, mengenai hantaran dan lain-lain, akan saya umumkan kelak,” jelasnya.


Berdebar menanti

Farid juga mengakui berdebar-debar menanti majlis pernikahan mereka dan berharap segalanya akan berjalan dengan lancar dan baik.

“Semenjak bertunang lagi, saya memang berdebar-debar menanti hari bersejarah ini. Saya harap segalanya berjalan dengan baik dan semua pihak mendoakan yang terbaik untuk kami,” ujarnya.

Menyentuh mengenai pengumuman tarikh perkahwinannya yang dibuat mengejut tanpa sidang media yang lebih tersusun, Farid berkata, dia merasakan sesi tayangan filemnya itu adalah masa yang sesuai untuk membuat pengumuman memandangkan kebanyakan media
hadir ketika itu.

“Buat peminat, saya harap mereka tidak terkejut dengan pengumuman ini. Memang saya berniat untuk umumkan hari ini (semalam) kerana semua media ada dan saya mahu bertindak adil pada semua,” jelasnya.


Diana pilih fesyen sopan

Sementara itu, Diana Danielle, dalam temu bual bersama majalah Pesona Pengantin terbitan Kumpulan Media Karangkraf sebelum ini, pernah mendedahkan konsep perkahwinan yang menjadi impiannya. 

Jelas Diana, dia gemarkan majlis outdoor dengan dikelilingi bunga-bunga segar.

"Majlis perkahwinan saya nanti mesti diadakan di luar dewan. Tidak kisahlah sama ada berkonsepkan ala taman mahupun di tepi pantai. Saya juga selesa dengan majlis yang ringkas.

"Mengenai gaun perkahwinan, biarlah fesyen yang sopan dan tertutup. Bila anak-anak tengok nanti, mereka akan bangga melihat potret perkahwinan ibu mereka," ujarnya.

Bercerita mengenai kriteria yang ada pada Farid, Diana menjelaskan sikap matang yang ada pada aktor itu membuatkannya jatuh hati.

"Saya tidak pernah meletakkan ciri-ciri spesifik yang diperlukan oleh seorang lelaki untuk menjadi teman istimewa. Apa yang penting, saya selesa mendampinginya.

"Keserasian itu juga penting. Malah saya sangat gembira bersama seseorang yang matang dan sabar dalam melayan setiap kerenah saya. Kalau saya rasa dialah yang boleh membahagiakan, boleh memahami dan menerima saya seadanya, jadi kenapa saya harus melepaskan peluang itu.
Previous Post
Next Post
Related Posts

0 comments: