Wednesday, 10 October 2012

Hufaz sedia bersaing hidupkan industri nasyid


Hufaz
Hufaz
 
DALAM kemeriahan industri hiburan tempatan dengan kemunculan pelbagai genre dan konsep muzik, irama nasyid masih terus bertahan. Mungkin zaman kegemilangan nasyid tidak sehebat seperti dulu, namun keadaan ini tidak memutuskan semangat kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Hufaz ini.

Dianggotai empat anak muda, Amir Arsyad, 28, Mohd Aizat Jaafar, 27, Mohd Reezam Ibrahim, 32, dan Mohd Izwan Jaini, 26, Hufaz bersedia untuk mempertaruhkan bakat.

Ketika sesi fotografi, Izwan tidak dapat hadir, tetapi tiga rakannya lain sempat berkongsi misi perjalanan Hufaz.

Bertindak sebagai ketua, Amir berkata, sejak awal penubuhan Hufaz mereka berhasrat menyemarakkan kembali dunia nasyid.

“Mungkin ramai yang cakap nasyid kini kurang mendapat sambutan, tetapi tanggapan itu sebenarnya salah.

“Hufaz sendiri sudah mempunyai ramai pengikut walaupun pada mulanya kami bergerak secara underground.

“Kami harap kemunculan Hufaz akan memeriahkan lagi industri nasyid kerana kelompok pendengar muzik ini memang ramai,” katanya dipersetujui ahli lain.

Identiti sendiri

Bercerita mengenai sejarah penubuhan Hufaz, menurut Amir, kumpulan itu sebenarnya sudah diasaskan sejak 2008.

“Bagaimanapun, tiga anggota lain menarik diri dan tinggallah saya seorang.

“Atas bantuan rakan dari kumpulan nasyid lain, saya diperkenalkan dengan Aizat dan Izwan. Manakala, Reezam pula peserta Akademi Nasyid. Kami terus bergerak hinggalah sekarang,” katanya.

Meskipun perlu berdepan saingan daripada kumpulan nasyid lain, Aizat berkata, mereka yakin dengan identiti dan kelebihan dimiliki Hufaz.

“Bagi kami, setiap kumpulan ada keistimewaan sendiri. Kelainan Hufaz terletak pada kekuatan vokal setiap ahli dan masing-masing mempunyai bahagian dalam setiap lagu.

“Soal persaingan, kami anggap sebagai sesuatu yang positif. Lagipun, hubungan Hufaz dengan kumpulan nasyid lain sudah seperti adik-beradik kerana berada dalam industri yang sama,” katanya.

Kembali Pada Asas

Menganggap kumpulan ini sebagai medium untuk berdakwah, perjuangan Hufaz semakin bermakna dengan kelahiran album pertama mereka, Kembali Pada Asas.

Diterbitkan Loonaq Records, proses rakaman album itu bermula Mac lalu dan dilancarkan pada Ogos.

Menurut Reezam, album diterbitkan Pak Li itu mengandungi lima lagu iaitu Khusyuk, Idolaku, Zikir Rahsia, Ingatlah ALLAH dan Kurnia Sakti- Mu yang berkisar kepada perkara asas dalam kehidupan seorang Muslim.

“Lagu Khusyuk misalnya, menekankan kepentingan solat yang menjadi tiang agama.

“Semua lagu berkonsep easy-listening dan diharap diterima pendengar,” katanya.

Album itu boleh didapati melalui www. loonaq.my atau Facebook Hufaz.
Previous Post
Next Post
Related Posts

0 comments: