Kamalludin (kanan) dan Salmah (kiri) memeriksa warga asing yang ditahan dalam Ops 6P.
Wanita terbabit berjaya ditahan selepas usaha mencari dilakukan selama 15 minit.
Ini berikutan penemuan sepasang telekung dan aksesori wanita di dalam bilik ketika anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri menyerbu rumah yang didiami seorang lelaki berusia 30-an.
Disebabkan musykil, anggota berkenaan mencari di segenap sudut dan akhirnya menemui seorang wanita berusia 20-an sedang menyorok dalam almari pakaian kanvas di dalam sebuah bilik.
Pengarah JIM negeri, Kamalludin Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, anggotanya membuat serbuan di sebuah rumah kampung yang terletak di Peringgit, dekat sini.
Beliau berkata, ketika serbuan, terdapat seorang lelaki dalam rumah itu, bagaimanapun agak menghairankan apabila terdapat sepasang telekung dan aksesori wanita di dalam bilik tersebut.
“Berikutan penemuan telekung tersebut, kita mengesyaki ada wanita tinggal di dalam rumah tersebut, namun dinafikan lelaki berkenaan.
“Kita tidak terus mempercayai kata-kata lelaki berkenaan sebaliknya berusaha mencari seluruh rumah sebelum menemui seorang wanita di dalam almari pakaian kanvas di sebalik baju-baju yang digantung selepas kira-kira 15 minit,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati wanita terbabit adalah isteri kepada lelaki berkenaan.
"Kita menahan pasangan suami isteri itu selepas mendapati pas lawatan sosial kedua-dua mereka telah tamat tempoh," katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabat JIM di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, semalam.
Kamalludin berkata, pasangan suami isteri itu antara 23 orang yang ditahan dalam operasi dikenali Ops 6P dijalankan 15 anggota dan pegawai diketuai Timbalan Penolong Pengarah Penguatkuasa, Salmah Omar.
“Dalam operasi ini, seramai 85 orang diperiksa. Kita menahan 19 lelaki dan empat wanita berusia 20 hingga 41 tahun. Kesemua mereka merupakan warganegara Bangladesh, Indonesia, Mnyanmar, Pakistan, Thailand.
"Seramai 11 lelaki warga Nepal bekerja sebagai pengawal keselamatan turut ditahan,” katanya.
Menurutnya, operasi selama 11 jam berakhir 4 pagi semalam, dijalankan di empat lokasi berasingan, masing-masing tiga di Melaka Tengah iaitu Malim, Krubong, Peringgit, selain satu di Sungai Petai, Alor Gajah.
0 comments: