
Antara babak yang dijayakan Jovovich dalam Resident Evil: Retribution.

Milla bersama suaminya, Paul Anderson yang juga pengarah Resident Evil.
Diadaptasi daripada permainan video popular, filem yang pertama kalinya menemui penonton pada 2002 ini terus mencipta kejayaan apabila disambung sehingga beberapa siri iaitu Resident Evil: Apocalypse (2004), Resident Evil: Extinction (2007), Resident Evil: Afterlife (2010) dan yang terbaru, Resident Evil: Retribution.
Sebagai teraju utama, Jovovich dianggap antara tarikan yang membuatkan Resident Evil terus dinanti penonton setia filem bergenre sains fiksyen/seram ini.
Malah, Jovovich yang memulakan karier sebagai model ini mengakui Resident Evil mendapat tempat istimewa di hatinya berbanding filem lain yang dibintanginya.
Kerjayanya sebagai pelakon juga semakin berkembang sejak terlibat dalam filem arahan Paul Anderson ini.
"Pertama kali terlibat dalam babak aksi dalam filem ini saya begitu teruja.
"Ia adalah sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini. Pastinya, watak Alice telah memberi anjakan baru dalam karier lakonan saya," katanya.
Penggemar video
Walaupun sudah sedekad membawakan karakter yang sama, jelas Jovovich, dia tidak pernah berasa bosan.
Apatah lagi, watak Alice sebagai ejen yang ditugas menghapuskan zombie yang menyerang manusia mengalami perkembangan dalam setiap filem.
"Semua orang dalam produksi sukakan francais ini termasuk saya, kami umpama satu keluarga.
"Kami sentiasa ternanti-nanti apakah yang akan terjadi dalam filem seterusnya.
"Perkara ini yang membuatkan saya tidak pernah berasa jemu," katanya.
Mengimbau kembali pembabitannya dalam filem tersebut, kata Jovovich, dia menghadiri uji bakat kerana merupakan penggemar permainan video Resident Evil.
"Saya dan adik lelaki boleh menghabiskan masa berjam-jam untuk bermain permainan video tersebut.
"Ketika uji bakat, saya tidak meletakkan harapan tinggi. Apabila Paul memberitahu dia mahukan saya membawa watak Alice, saya bagaikan tidak percaya.
"Resident Evil kini menjadi sebahagian daripada hidup saya. Di sebalik kritikan diterima, saya puas kerana filem ini memiliki peminat sendiri," katanya.
Cinta berputik di set
Bukan saja membantu kariernya, Resident Evil juga menjadi titik tolak ikatan yang terjalin antara Jovovich dan Anderson kini.
Daripada hubungan sebagai pengarah dan pelakon, pasangan ini akhirnya mendirikan rumah tangga pada 22 Ogos 2009.
Dengan statusnya sebagai isteri kepada sang pengarah, sedikit sebanyak memberi kelebihan buat Jovovich untuk memberi idea jalan cerita Resident Evil: Retribution.
"Saya sentiasa ada idea bagaimana mahu mengembangkan lagi watak Alice.
"Mujurlah, Paul sebagai pengarah dan penulis skrip mahu mendengar pandangan saya," katanya.
Bercerita mengenai Resident Evil: Retribution, Jovovich sendiri memberi keyakinan bahawa siri ini adalah yang terbaik.
"Saya bangga dengan Paul bukan kerana saya isteri dan pelakon filem ini, tetapi dia memang telah melakukan yang terbaik.
"Saya harap penonton menyukai skrip kali ini yang lebih rumit serta kemunculan semula beberapa watak yang pasti mengujakan," katanya.
0 comments: