Friday, 14 September 2012

Pemilik premis urut terkedu cubaan tipu gagal


Pemilik premis urut terkedu, cubaan tipu gagal
Anggota penguatkuasa memecahkan dinding sekatan pusat refleksologi terbabit.
 
SUBANG JAYA – Cuba menipu tapi tidak menjadi.  Itulah nasib pemilik sebuah pusat refleksologi yang mulanya menafikan ada menawarkan urutan badan ketika serbuan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), semalam. tetapi terbongkar setelah pelanggannya mengaku baru mendapatkan khidmat urutan itu membongkarkan aktiviti tidak sihat itu.

Premis di SS15 itu antara tiga pusat refleksologi dikenakan tindakan sitaan manakala barang dirampas apabila didapati melanggar syarat lesen dikeluarkan.

Dalam serbuan bermula jam 12.30 tengahari itu, enam daripada keseluruhan 18 pusat refleksologi di seluruh kawasan SS15 dekat sini diserbu selepas notis amaran dikeluarkan sebelum ini berakhir semalam.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Ahmad Hasan berkata, serbuan kali ini tertumpu kepada pengusaha premis urut yang melanggar syarat lesen.

Katanya, kesemua premis diserbu diberi  notis untuk mematuhi arahan terhadap kesalahan dilakukan sebelum ini.

Menurutnya, pihaknya kemudian memantau dan dapati hanya tiga mematuhi arahan manakala selebihnya ingkar.

Jelasnya, kesemua premis yang diserbu mempunyai lesen namun tidak mengikut syarat-syarat yang terkandung dalam pengeluaran lesen.

“Antara syarat lesen pusat refleksologi  adalah larangan membuat dinding sekatan memisahkan premis dengan ruang-ruang kecil dan ditutup dengan langsir.

“Namun pengusaha di tiga premis didapati masih berdegil sehingga tempoh notis  diberi tamat," katanya.

Ahmad berkata, ketiga-tiga premis juga didapati mempunyai kemudahan katil yang mana sama sekali tidak dibenarkan.

"Kita mencadangkan supaya lesen diberi kepada pengusaha sebelum ini dibatalkan. Dua pekerja warga Vietnam yang dicekup diserahkan kepada polis," katanya.
Previous Post
Next Post
Related Posts

0 comments: