Persembahan mantap Ariel.
Walaupun kontroversi video lucah yang menimpa dirinya sebelum ini pernah membawanya hingga ke penjara, namun populariti yang diraih menerusi bakat nyanyiannya ternyata tidak pernah luntur.
Ini terbukti apabila kemunculannya di konsert itu mendapat sambutan hangat daripada peminat di Malaysia yang merinduinya.
Malaysia adalah destinasi ketiga konsert jelajah Tentang Bahtera ini dijalankan, di mana ia berlangsung di lima negara dalam tempoh 24 jam.
Sebagai media rasmi, Sinar Harian difahamkan konsert ini dijalankan bertujuan untuk mempromosikan nama baru kumpulan tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai Peterpan selepas pembebasan vokalisnya daripada penjara, Julai lalu.
Kali terakhir berkunjung di Malaysia tiga tahun lalu, kemunculannya kini bersama kumpulan yang diberi nama baru, Noah sememangnya berupaya mengubati kerinduan peminat yang sudah lama menantikan penyanyi kesayangan mereka ini untuk beraksi di pentas.
Persembahan bertenaga yang ditonjolkan berjaya membuatkan penonton yang hadir terhibur dan berpuas hati walaupun mereka hanya muncul dalam waktu yang singkat.
Selain Noah, persembahan yang tersendiri daripada kumpulan The Malayan, trio Gamaliel Audrey Cantika (GAC) dan 6xith Sense turut tidak menghampakan penonton yang hadir.
Konsert menghiburkan
Tidak dinafikan lagi, kemunculan kumpulan Noah di pentas amat dinanti-nantikan oleh penonton yang hadir ke konsert tersebut.
Konsert dimulakan dengan persembahan dari kumpulan The Malayan sebagai pembuka tirai konsert dan kumpulan itu sempat menyanyikan lima buah lagu sebelum Noah mengambil alih pentas.
Walaupun masa terlalu terhad, Noah sempat menyanyikan enam buah lagu, di mana lima daripadanya adalah lagu daripada rangkaian Peterpan seperti Walau Habis Terang, Menghapus Jejakmu, Separuh Aku, Tak Bisakah dan Mungkin Nanti.
Satu lagi lagu yang didendangkan oleh Noah adalah Separuh Aku, di mana lagu itu adalah dari album Noah dan pertama kali diperdengarkan untuk peminat di Malaysia.
Setelah selesai membuat persembahan, Noah terpaksa bergegas menuju ke destinasi seterusnya iaitu Singapura dan Jakarta.
Kumpulan yang berasal dari Bandung, Indonesia itu memulakan penjelajahan pertama mereka ke Australia, diikuti Hong Kong, Malaysia, Singapura dan berakhir di Jakarta, Ahad lalu.
0 comments: