
Mayat mangsa ditutup sebelum di bawa ke Hospital Setiu.
Dalam kejadian jam 9.46 malam di Kilometer 69 Jalan Kampung Raja–Kuala Terengganu dekat Kampung Saujana, di sini menyebabkan mangsa, Mohd Rafiezudin Razali, 20, cedera parah dengan keadaan otak bersepai apabila sebahagian kepalanya pecah.
Sebelum itu mangsa dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya kira-kira 50 meter dari tempat kejadian menuju ke sebuah kedai runcit di Kampung Beris Tok Ku.
Saksi, Fathul Ammar Amsyar Hasbullah, 17, memberitahu, dia menaiki kereta bersama dua rakan berada di belakang motosikal mangsa terkejut apabila melihat mangsa melanggar sebuah motosikal lain yang diletakkan di tepi jalan.
“Selepas melanggar motosikal itu mangsa terjatuh ke atas jalan dan saya segera berhenti untuk membantu sebab nampak mangsa mengerang,” katanya.
Malangnya, sebelum sempat membantu, tiba-tiba dua buah Proton Saga, Perodua Viva dan sebuah lagi Proton Saga dari arah Besut merempuh mangsa serta mengheretnya sejauh kira-kira 10 meter.
“Kemudian datang lagi dua buah kereta dari arah depan turut melanggar mangsa. Apabila saya pergi ke arah mangsa, mangsa sudah tidak bergerak lagi dengan keadaan yang sangat mengerikan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menurutnya, setakat pagi semalam hanya pemandu Proton Saga berusia 33 tahun dari Besut tampil membuat laporan.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Saujana tengah hari ini.
0 comments: