
Zain Hamid - Fouziah Gous - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Namun, bagi Fouziah Gous dan Zain Hamid, perlu berada di Betong selama sebulan bagi menjalani penggambaran drama terbaru, Dendam Sarakit meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan.
Jika selama ini mereka bekerja jauh dari keluarga, tidaklah mencecah tempoh yang lama, apatah lagi sukar untuk berhubung menerusi telefon kerana memerlukan mereka menukar talian.
Menurut Zain Hamid atau lebih dikenali sebagai Zain Ruffedge, dia dan Fouziah terpaksa 'mencuri' waktu untuk pulang ke Kuala Lumpur bagi melepaskan rasa rindu, sebelum pulang semula ke Thailand bagi menjalani penggambaran yang telah di susun jadualnya.
Mengakui tidak gemar menonton drama atau filem seram, Zain menganggap penglibatannya dalam Dendam Sarakit sebagai cabaran untuk dirinya sendiri.
Katanya, semenjak dia berumur 10 tahun lagi, dia tidak menonton cerita seram kerana bimbang terbawa-bawa sehingga tidur atau teringat-ingat akan babak yang dilihat.
"Saya bukanlah nak kata saya ini jenis penakut, cuma saya tak suka tengok. Lagipun dalam drama ini, awal-awal dia bukanlah hantu, hanya pada penghujung jalan cerita baru saya tahu dia hantu.
"Selain itu, memandangkan ini adalah drama seram, jadi kebanyakan waktu penggambaran diadakan pada sebelah malam dan saya pula, mungkin menjadi tabiat, saya mesti akan melihat ke bumbung setiap rumah. Tapi Alhamdulillah, tiada sebarang kejadian pelik yang berlaku sepanjang penggambaran di sana," jelasnya.
Menyentuh gandingannya dengan Fouziah, Zain berkata, dia selama ini tidak mengenali Fouziah secara dekat, biarpun ada bertemu di beberapa majlis.
Namun, Zain bersyukur kerana tidak sukar mendapatkan keserasian dengan Fouziah, memandangkan aktres itu cukup profesional.
"Saya memegang watak sebagai Rafiq, seorang anak yang baik dan perlu bekerja di sempadan Malaysia dan akhirnya jatuh cinta dengan seorang gadis dari Thailand.
"Itu adalah cinta pertamanya, namun ia tidak direstui ibunya yang mempunyai sejarah hitam dengan masyarakat di Thailand. Tapi kerana jodoh, mereka berkahwin juga.
"Jadi dalam drama ini, saya dan Fouziah perlu bercinta sebagai suami isteri. Walaupun tak pernah berlakon bersama, tapi kami berjaya berlakon sambil mendapatkan keserasian. Kami juga ada keluar beramai-ramai lepas habis penggambaran untuk mencari keserasian," katanya.
Bagi Fouziah pula, tempoh penggambaran yang panjang membuatkan dia sering merindui keluarganya dan mencuri masa untuk kembali ke Kuala Lumpur.
"Mula-mula bila dihidangkan Tom Yam memang saya teruja dan sedap. Tapi bila hari-hari menghadap makanan sama, saya mula rasa muak dan akhirnya terpaksa mencuri masa pulang bertemu keluarga kerana rindukan masakan ibu," katanya.
Fouziah berkata, menjiwai watak Sarakit memberikan cabaran terbesar buatnya kerana perlu mengungkapkan dialog yang menggunakan ayat bahasa Malaysia baku.
“Nama Sarakit itu sendiri sudah cukup berat buat saya, apatah lagi mengikut maklumat penduduk di sana, nama Sarakit adalah dari keturunan diraja.
"Sukar sebenarnya untuk bercakap dialog baku memandangkan kita sudah terbiasa bercakap bahasa pasar. Selain itu, kesukaran lain adalah untuk 'bercinta' dengan Zain sebagai suami isteri kerana saya belum berkahwin dan tidak ada pengalaman menjadi isteri," katanya.
Fo uziah diganggu ?
BERCERITA dengan lebih lanjut pengalaman sepanjang berada di sana, Fouziah berkata, dia sememangnya sudah membuat persediaan awal dengan membawa al-Quran dan air Yasin bagi mengelak perkara yang tidak diingini.
Malah, Fouziah mengakui tidak serik untuk berlakon cerita seram, walaupun pernah diganggu oleh makhluk halus sebelum ini ketika berada di set penggambaran.
"Saya akui ada diganggu tetapi tidaklah keterlaluan. Cuma ada satu peristiwa, ketika sedang solat pada tahiyat akhir, saya terasa kepada saya seperti ditolak sesuatu menyebabkan kepada saya senget, tapi saya terus menunaikan solat.
"Tapi saya sentiasa beringat dan menjaga kebersihan diri bagi mengelak didekati atau diganggu makhluk-makhluk halus," jelasnya.
Cari kekuata n
MENYENTUH tentang perkembangan terkininya, Fouziah berkata, dia baru sahaja pulang dari Morocco selepas selesai menjalani penggambaran telemovie yang berjudul Jauh bersama Adiputra.
Bagaimanapun, dalam kesibukan kerjanya, Fouziah mengakui dia masih lagi bersedih dan mencari kekuatan selepas pemergian bapanya, Mohd Gous Agulam Dastagir, 75, pada 11 Ogos lalu.
"Saya akui hilang fokus selepas arwah meninggal dan saya tidak keluar bekerja serta hanya duduk di rumah lebih dua minggu.
"Malah, bila saya sudah kembali bekerja, fikiran saya masih bercelaru dan susah untuk fokus. Ada ketikanya, saya rasa saya boleh beri komitmen yang lebih baik. Mujur kebanyakan penerbit dan pengarah memahami situasi saya.
"Tapi Alhamdulillah, sekarang ini emosi saya semakin stabil, namun masih belum dapat membuang kesedihan," jelasnya.
Fouziah berkata, dia terpaksa mengatasi kedukaannya dan berusaha untuk kembali bekerja kerana telah terikat dengan pelbagai komitmen yang sudah diatur lebih awal.
"Kalau ikutkan, memang saya nak longgarkan jadual pada bulan September. Tapi bila ada penggambaran sini sikit, sana sikit, jadual jadi padat semula.
"Memandangkan banyak jadual telah diatur lebih awal dan sudah menjadi tanggungjawab saya untuk melunaskannya, jadi saya kembali juga bekerja," katanya.
Zai n beralih bidang
MENDEKATI bekas ahli kumpulan Ruffedge ini, Zain berkata, dia kini terpaksa 'berehat' seketika dari bidang nyanyian dan lebih selesa menjadi penerbit lagu atau album sahaja.
Katanya, memandangkan tawaran lakonan yang semakin baik, Zain mengharapkan untuk menumpu pada satu bidang dalam satu masa.
"Bidang nyanyian tetap pilihan pertama saya, tapi memandangkan saya sudah terbiasa menyanyi bersama kumpulan, jadi saya kurang selesa untuk bergerak solo.
"Ada perancangan untuk kembali ke pentas nyanyian tapi belum tiba masanya lagi. Malah bidang nyanyian dan lakonan tidak banyak bezanya walaupun dalam bidang yang berbeza.
"Jika ada rezeki, Insya-ALLAH saya akan kembali menyanyi, tapi buat masa sekarang, saya lebih selesa duduk di belakang tabir, menerbitkan lagu atau album sahaja," katanya yang baru sahaja menjalani penggambaran filem Pengabit, KL Zombi dan sedang menunggu filem lakonannya, Ngorat, ditayangkan Oktober ini.
Kurus buka n sakit
TATKALA menyentuh tentang badannya yang kelihatan lebih kurus daripada sebelum ini, Zain mengakui telah kehilangan berat badan sejak akhir-akhir ini.
Bagaimanapun, Zain menegaskan, dia bukan kurus kerana sakit atau pun sedang mengalami masalah rumah tangga, sebaliknya menyedari betapa pentingnya untuk menjaga kesihatan.
"Saya memang sedar badan saya sangat berisi. Justeru timbul kesedaran untuk saya menjaga kesihatan dan pemakanan saya. Selain itu, saya turut amalkan senaman di gimnasium bersama kawan-kawan.
"Alhamdulillah, rumah tangga saya masih lagi bahagia dan saya harap tiada pihak membuat spekulasi yang bukan-bukan hanya kerana berat badan saya turun," jelasnya.
0 comments: