Mayat mangsa diangkat ke darat dalam keadaan meniarap.
Isterinya yang mengandung empat bulan terkejut dengan berita mengenai penemuan mayat suaminya yang terapung berhampiran tandop di kampung itu kira-kira jam 11 malam semalam.
Norhaslina berkata, seminggu sebelum mangsa ditemui, dia menunjukkan perubahan yang sangat ketara dan perbualannya hanya mengenai mati sahaja dan pelbagai soalan pelik juga sering diajukan.
“Memandangkan arwah teringin untuk melihat anak perempuan, arwah sempat meninggalkan nama itu.
“Arwah turut berkata sekiranya anak dalam kandungan ini adalah anak perempuan dia adalah orang yang paling gembira,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mangsa berubah sikap
Norhaslina berkata, kali terakhir dia bertemu suami lebih kurang jam 9.30 pagi di rumahnya dan apabila diajak bersarapan bersama arwah mengendahkan pelawaan itu.
“Kebiasaannya dia (Rozaini) tidak begitu. Setiap pagi pelawaan untuk bersarapan bersama disambut baik olehnya. Sebelum kejadian arwah keluar ke kedai kerana gas yang digunakan untuk memasak hidangan tengah hari kehabisan dan kemudian saya keluar untuk membeli bahan mentah untuk masakan.
"Kebiasaannya setiap kali keluar rumah dia berpesan supaya berhati-hati tetapi pada hari sebelum kejadian dia hanya senyap,” katanya.
Menurutnya, sejak berumah tangga sembilan bulan lalu, arwah tidak pernah memarahinya dan pandai menjaga hati isteri serta menuruti kehendak anak-anaknya hasil perkahwinan pertamanya dulu.
“Arwah juga seorang yang ringan tulang dan bertindak menyelesaikan kerja-kerja yang diberikan secepat mungkin serta mudah memberikan pertolongan kepada sesiapa sahaja,” katanya.
Mangsa baru selesai jalani pembedahan
Sementara itu, bapanya, Ghazali Awang, 53, berkata, anak sulungnya itu baru selesai menjalani pembedahan akibat kemalangan sehingga menyebabkan paha kanannya patah dan perlu dimasukkan besi daripada paha sehingga ke pinggangnya.
Menurutnya, arwah kebiasaannya duduk di rumah memandangkan baru tiga bulan menjalani pembedahan itu.
“Lebih kurang jam 10.30 pagi arwah keluar untuk ke rumah rakan berhampiran dan tabiat itu menjadi rutin hariannya menghabiskan masa berborak bersama rakannya.
“Dalam kejadian kira-kira 12 tengahari seorang penduduk kampung memberitahu saya bahawa arwah terkejut dengan kehadiran pihak polis yang sedang menjalankan operasi di kampung itu dan bertindak terjun ke dalam sungai berhampiran,” katanya.
Ghazali berkata, oleh kerana anaknya tidak pulang, dia kemudiannya membuat laporan polis bahawa anaknya hilang sejak Jumaat lalu.
“Saya bersama penduduk berusaha mencari arwah kerana bimbang jika berlaku perkara tidak baik. Usaha mencari diteruskan sehinggalah saya dimaklumkan penduduk lebih kurang jam 10 malam semalam (Sabtu) bahawa mayatnya ditemui terapung di tandop berhampiran kampung,” katanya.
Ghazali berkata, anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian dan seorang yang pendiam serta menghormati kedua ibu bapa.
“Dia hanya akan bercakap sekiranya ada perkara yang ingin dibincangkan,” katanya.
Nampak objek timbul
Saksi, Zainuddin Ismail, 38, berkata, sebelum menemui mayat itu dia bersama rakannya berborak di pelantar berdekatan dan ternampak seperti ada objek timbul berhampiran tandop berkenaan.
Menurutnya, mereka kemudiannya menghampiri objek itu dan mendapati ia adalah mayat seorang lelaki.
“Saya segera memaklumkan perkara itu kepada pihak polis berhubung penemuan mayat berkenaan. Kebetulan petang Sabtu lalu operasi mencari mangsa yang dikatakan hilang turut dijalankan namun usaha itu gagal berikutan air deras menyukarkan kerja-kerja menyelamat,” katanya.
Katanya, mangsa yang dikatakan terjun ke dalam sungai berhampiran kerana terkejut dengan kehadiran polis dan kemudiannya terjun kali kedua untuk pulang ke rumahnya.
“Selepas mangsa terjun seorang penduduk memberitahu bahawa dia lenyap secara tiba-tiba. Kemungkinan berlaku kekejangan memandangkan mangsa baru selesai menjalani pembedahan sekitar empat bulan lalu,” katanya.
Polis jalankan operasi dadah
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan, Ibrahim Mohd Yusuf berkata, pihaknya ada menjalankan operasi dadah Jumaat lalu di kampung berkenaan dan menahan tiga lelaki.
“Saya mendapati ada laporan daripada penduduk terdapat seorang penduduk yang melarikan diri dan terjun ke dalam sungai berhampiran dan kemudian segera mengarahkan operasi menyelamat bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat dan usaha itu gagal disebabkan oleh arus deras di sungai berkenaan.
“Mayat mangsa yang ditemui dibawa ke Hospital Jitra dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati lemas,” katanya.
0 comments: