Logo Skuad Harimau Muda Hias Pesawat Air Asia
KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Muda mendapat penghormatan apabila logo dan tema pasukan itu ‘Semangat Harimau Muda’ menghiasi pesawat milik syarikat penerbangan tambang murah AirAsia, semalam.
Sebagai permulaan, sebuah pesawat jenis Airbus A320 akan melakukan penerbangan sulungnya dari Jakarta ke Kuala Lumpur sebagai pengiktirafan atas kejayaan skuad bimbingan jurulatih Ong Kim Swee memenangi pingat emas di Sukan SEA Indonesia pada tahun lepas.
Ong berkata, dia berasa bangga apabila skuad bimbingannya semakin mendapat tempat di hati setiap lapisan masyarakat tempatan.
“Saya harap ia bakal menjadi motivasi kepada pemain negara khususnya pemain muda untuk berusaha lebih bersungguh-sungguh pada masa akan datang.
“Bagi skuad Harimau Muda, kami akan memastikan bahawa pingat emas bagi acara bola sepak terus menjadi milik Malaysia pada Sukan SEA di Myanmar tahun depan,” katanya yang dipetik melalui KLPos, di sini, hari ini.
Majlis pelancaran pesawat dengan logo dan tema ‘Semangat Harimau Muda’ itu, disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Sementara itu, Pengerusi AirAsia Berhad, Datuk Aziz Bakar berkata, syarikatnya bercadang menambah jumlah pesawat dengan ilustrasi ‘Semangat Harimau Muda’ pada masa akan datang.
0 comments: